Make your own free website on Tripod.com
Sejarah SJK (C) Kwang Chien, Sarikei

Bagunan Sejarah SJK(C) Kwang Chien


                 Sekolah Kwang Chien, salah sebuah Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina yang terbesar di Bahagian Sarikei. Sekolah ini terletak di Jalan Kubu Sarikei.

                Sekolah Rendah Aliran Cina Sarikei (SRB Kwang Chien) telah ditubuhkan dengan rasminya pada awal tahun 1927. Penubuhannya adalah hasil usaha daripada beberapa orang peniaga yang terkenal di Daerah Sarikei. Dengan penubuhan awal sekolah atas masalah kewangan, maka pihak sekolah terpaksa meminjamkan rumah papan daripada Persatuan Kong Wai Siew Sarikei untuk dijadikan bilik darjah. Bilangan murid pada masa itu ialah lebih kurang 40 orang.

                Pada tahun 1927, alamat sekolah terpaksa dipindahkan ke sebuah bangunan yang terletak di belakang Dewan Huai Ren, Sarikei. Ini adalah akibat daripada pendapat-pendapat yang tidak sebulat suara di kalangan ahli-ahli Lembaga Pengurusan sekolah. Pada tahun inilah, nama sekolah ditukarkan kepada Sekolah Rendah Bantuan Kwang Chien Sarikei. Encik Ting Mang dan Encik Chai King Sii masing-masing telah dipilih sebagai Pengerusi dan Naib Pengerusi Lembaga Pengurusan Sekolah. Manakala Encik Tiong Lok Ting telah ditawarkan sebagai guru besar yang pertama.

                Dari setahun ke setahun, murid-murid kian bertambah mengakibatkan bilik darjah sekolah tidak mencukupi. Pada tahun 1929, Encik Siaw Nam Kung telah dipilih sebagai wakil untuk memohon alamat sekolah yang tetap daripada pihak Jabatan Pendidikan. Dengan kerjasama daripada ahli-ahli Lembaga Pengurusan Sekolah dan bantuan kewangan yang diperolehi dari kutipan komisen penjualan lada hitam (seringgit setan), sebuah bangunan sekolah yang berharga dua belas ribu ringgit telah siap dibina untuk menampung bilangan murid yang semakin bertambah pada tahun 1930.

                Pada tahun 1944, Sekolah Rendah Bantuan Kwang Chien terpaksa ditutup kerana Zaman Pendudukan Negara Jepun. Sekolah dibuka semula setelah Negara Jepun menyerah kalah pada tahun 1946. Encik Siaw Nam Kung telah dipilih sebagai Pengerusi Lembaga Pengurusan Sekolah, manakala Encik Yeu King Sui pula dilantik sebagai guru besar sekolah.

                Pada akhir tahun 1951,murid-murid sekolah telah bertambah kepada bilangan lebih kurang dua ratus orang. Sebuah bangunan konkrit telah siap dibina pada tahun 1952 dengan bantuan kewangan daripada orang awam dan penduduk-penduduk tempatan. Kemudahan-kemudahan seperti tempat penginapan guru, tandas murid, dan tangki air juga disediakan.

                Pada tahun 1980, Encik Yii Ming Kai telah dilantik oleh Kementerian Pendidikan sebagai guru besar sekolah. Beliau telah memohon daripada pihak jabatan bagi menambahkan bilangan kelas Tahun Satu kepada dua buah kelas. Permohonan itu telah mendapat kelulusan daripada pihak jabatan. Sebuah bangunan sekolah terpaksa dibina lagi bagi menampung bilangan murid sekolah yang semakin ramai. Sekolah Rendah Bantuan Kwang Chien dapat berkembang dengan pesatnya di bawah pimpinan Encik Yii Ming Kai.

                Pada tahun 1988, bilangan guru telah bertambah kepada 17 orang dengan bilangan murid seramai 357 orang. Bilangan kelas pengajaran dan pembelajaran pula ialah sebanyak 9 buah. Dengan bantuan kewangan daripada pihak Jabatan Pendidikan dan Yang Berhormat Datuk David Teng Lung Chi serta golongan peniaga tempatan, sebuah bangunan sekolah yang berharga tujuh puluh ribu ringgit telah siap dibina bagi menyelesaikan masalah kekurangan bilik darjah.

                Pada tahun 1991, sebuah bangunan yang mempunyai tiga buah bilik darjah telah siap dibina bagi menampung bilangan murid yang seramai 494 orang. Pada tahun itu juga, bilangan guru sekolah telah bertambah kepada 22 orang dan bilangan kelas sebanyak 12 buah. Perbelanjaan keseluruhan untuk membina bangunan itu ialah sebanyak dua puluh tiga ribu ringgit.

                Pada tahun 1993, sebuah bangunan tiga tingkat telah siap dibina dengan bantuan kewangan sebanyak lima puluh peratus (Dua ratus tiga puluh dua ribu ringgit) daripada Kementerian Pendidikan. Yang Berhormat Datuk Abang Abu Bakar bin Abang Haji Mustapha, Yang Berhormat Datuk Law Hieng Ding, dan Yang Berhormat Datuk David Teng Lung Chi bersama-sama menghulurkan bantuan kewangan sebanyak enam puluh lima ribu ringgit untuk membina bangunan tersebut.

                Pada 16.12.1997, SRB Kwang Chien, Sarikei telah dinaikkan taraf ke Gred A oleh Kementerian Pendidikan. Encik Wong Hing telah dilantik sebagai Guru Besar yang baru mulai 16.12.1997. Beliau telah melaporkan diri pada 23.12.1997.

                Semasa sekolah dipimpin oleh Encik Wong Hing, beliau telah berusaha dengan bekerjasama dengan Lembaga Pengurus Sekolah untuk memohon bantuan kewangan dari Jabatan Pendidikan Bahagian Sarikei untuk mendindingkan ruangan kosong di tingkat bawah bangunan 3 tingkat. JPB, Sarikei memberikan bantuan dalam bentuk material sebanyak RM8,790.00 pada 28.10.1998. Kerja mendindingkan ruangan kosong kepada bilik guru besar, bilik penolong kanan, bilik guru dan pusat sumber/perpustakaan siap dibina pada bulan Disember, 1998. Sekolah ini juga telah mendapat bantuan kewangan sebanyak RM1,989.00 dari JPB, Sarikei untuk membaiki saluran air.

                Pada 7.9.1999, JPB Sarikei memberi bantuan kewangan sebanyak RM10,068.00 untuk membina koridor berbumbung. Kini semua blok bangunan telah disambung dengan koridor berbumbung.

                Pada 11.12.1999, JPB Sarikei telah memberi bantuan kewangan sebanyak RM2,000.00 untuk membaiki saluran air.

                Dengan usaha guru besar memohon kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar, sekolah ini telah diberi peruntukan sebanyak RM3,000.00 untuk membina Taman Sains pada penghujung tahun 1999. Kini projek tersebut sedang berjalan.

SRB Kwang Chien telah ditukarkan nama ke SJK(C) Kwang Chien pada tahun 1999 berikutan terkeluarnya pekeliling oleh Kementerian Pendidikan. Kini, sekolah ini telah mempunyai bilangan murid seramai 764 orang serta bilangan guru seramai 30 orang (termasuk seorang guru besar), seorang Pembantu Tadbir, seorang Pembantu Tadbir Rendah, seorang Pekerja Am Rendah dan seorang Pekerja Rendah Awam.

                Pada 18.02.2000, Encik Wong Kee Tuang, Penolong Kanan Kokurikulm telah diarah oleh Kementerian Pendidikan untuk ditukarkan ke SMK Tinggi Sarikei kerana beliau menerima kenaikan pangkat ke Gred DGA5 secara "Time-Based". Jawatan PK KK dijalankan buat sementara waktu oleh Puan Angela Tan Kok Han.

                Pada 23.02.2000, ahli Lembaga Pengurus Sekolah bagi tempoh 2000 ~ 2002 telah ditubuhkan. Ia diketuai oleh Encik Tan Pok Onn selaku pengerusi, Encik Yii Ming Kai sebagai Setiausaha Agung, Encik Lau @ Law Ngi Tung sebagai Bendahari Kehormat dan 12 orang ahli pengurus.

                Pada bulan Jun, 2000, Penolong Kanan Kokurikulum telah diisi secara hakiki oleh Puan Lau Siew Ling yang dipindahkan dari SK Bayang, Sarikei.

                Pada akhir tahun 2000, pihak sekolah mendapat peruntukan daripada Jabatan Pendidikan Bahagian Sarikei untuk membaikpulih gelanggang bola keranjang, mengecat semula bangunan luar, keceriaan sekolah, termasuk membina sebuah menara jam, dan membaikpulih perabot-perabot sekolah. Puan Yeu Swee Ting, seorang guru DGA6 berjaya dinaikkan pangkat ke DGA5 menjawat jawatan Guru Besar di SJK Kai Sing, Meradong mulai 16.12.2000.

                Pada awal tahun persekolahan 2001, Radio dan TV Pendidikan dipindahkan ke bilik Guru lama. Astro dipasang dan ditonton oleh murid-murid. Pelajaran Muzik dijalankan di situ. Minggu Orientasi yang bermula 03.01.2001 hingga 16.01.2001 berjalan lancar di tempat yang sama. Bilik Guru lama ini telah ditukar menjadi bilik Alat Pandang Dengar (APD).

                Pada tahun persekolahan 2001, terdapat 3 orang guru terlatih yang dipindahkan dari sekolah lain ke sekolah ini. Mereka terdiri daripada Puan Lam Mei Lai (dari SJK St. Martin, Sarikei), Puan Lau Ling Ling (dari SJK Sg. Jaong, Marudi) dan Puan Yung Chan Lang (dari SJK Su Hing, Sarikei). Seorang bekas guru, Puan Wong Ngiik Ing ditempatkan di sekolah ini sebagai Guru Kontrak selama 2 tahun, mulai 01.01.2001 hingga 31.12.2002. Cik Lau Pi Shu pula mengikuti kursus Pendidikan Jasmani selama setahun di Maktab Perguruan Batu Lintang, Kuching mulai 15.01.2001.

                Taman Sains yang diwujudkan sejak tahun 2000 diteruskan dengan penanaman bunga orkid, kaktus, hebal, bunga hortikultur, dan akuarium ikan.

                Pada pertengahan tahun 2001, pihak sekolah telah mendapat peruntukan sebanyak RM9,000.00 dalam bentuk material untuk membaikpulih tandas murid. Kini, kedua-dua tandas murid mencapai tahap kebersihan yang memuaskan. Pada akhir tahun 2001, pihak sekolah diberi peruntukan sebanyak RM10,000.00 dalam bentuk material untuk memagari kawasan sekolah.

                SJK(C) Kwang Chien, Sarikei telah mengorak langkah sebagai sebuah sekolah perintis di Bahagian Sarikei yang membuka kelas komputernya dengan bantuan dari Edutech Computer Sdn. Bhd., Kuching. Setelah tinjauan dibuat, sekolah mendapati bahawa sambutan daripada ibu bapa murid menggalakkan. Buat permulaan, seramai 442 orang murid mendaftar untuk belajar komputer. Akhirnya, perjanjian di antara Edutech Computer Sdn. Bhd., Kuching dengan wakil ahli Lembaga Pengurus Sekolah, Dr. Yap Ah Ming dan Encik Federick Wong Kuok Kwong telah dimeteri pada 18.09.2001 dan kelas komputer dibuka dengan rasminya pada 19.09.2001.

                Pada akhir tahun 2002, Edutech Computer Sdn. Bhd., Kuching telah membekalkan sebuah komputer bagi kegunaan perpustakaan. Sekolah ini sedang menuju ke arah sekolah bestari dengan menggunakan 'Smart School Library' dan 'Smart School Management'. Adalah diharapkan, pada pertengahan tahun 2002, sekolah ini menggunakan sistem peminjaman buku dan pentadbiran secara berkomputer.

                Pihak sekolah telah diberi peruntukan sebanyak RM90,000.00 oleh kerajaan pusat untuk membina sebuah stadium bola keranjang. Kerja pembinaan bermula dalam bulan Disember 2001 dan siap pada awal Januari, 2002. Akan tetapi, stadium bola keranjang tersebut tidak didirikan dengan pentas dan tidak dilengkapi dengan perparitan yang baik serta tidak dipasang dengan api. Walau bagaimanapun, aktiviti permainan, PJ dan perhimpunan diadakan di stadium tersebut.

                Pihak sekolah telah memenangi johan bagi "Promosi Persekitaran Sihat, 2002" anjuran Jabatan Kesihatan dengan hadiah RM5,000.00 dan piala pada 09.03.2002 di Dewan Suarah Sarikei oleh YB William Mawan.

                Pusat Sumber Sekolah (PSS) telah dicalonkan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak ke Pertandingan PSS Cemerlang di peringkat kebangsaan tahun 2002. Penghakiman telah dilakukan oleh pegawai dari Kuala Lumpur pada 16.04.2002. PSS Kwang Chien telah dipilih sebagai Pusat Sumber Sekolah Cemerlang, peringkat kebangsaan 2002 dan dianugerahkan dengan sijil tersebut.

                Kwang Chien telah mengubah wajahnya dengan memasang hawa dingin di bilik Guru Besar, bilik Penolong Kanan dan bilik Guru pada 04.06.2002 dengan kos RM8,500.00. Jendela-jendela di bilik-bilik tersebut termasuk bilik PSS telah dipasang dengan jendela "tinted glass" yang bernilai RM3,000.00 pada 31.05.2002.

                Jabatan Pendidikan Bahagian Sarikei telah memberi peruntukan RM3,500.00 untuk menaiktaraf Taman Sains dan sebuah kolam pancutan. Di samping itu, blok Tahun 1 dan 2 telah dibuat pendawaian semula dengan peruntukan RM4,156.60 dari Jabatan Pendidikan Bahagian Sarikei.

                Sekolah ini menempa sejarah dengan memperkenalkan 'Smart School Library Dan Management' yang dibekalkan oleh Edutech Computer Sdn. Bhd. Ia telah mula beroperasi dengan sepenuh-penuhnya mulai 05.06.2002. Semua murid dan staf yang ingin meminjam dan memulangkan buku-buku perpustakaan dijalankan dengan sistem berkomputer.

                Sekolah ini berjaya merangkul tempat ke-3 dalam Kuiz Kesihatan peringkat negeri Sarawak pada 22.06.2002 bertempat di Wawasan Inn Sarikei. Pasukan tersebut yang diwakili oleh 4 orang murid Tahun 6 dihadiahkan wang tunai RM300.00 dan piala.

                Sekolah ini buat kali pertama menyertai pertandingan Choral Speaking dalam bahasa Inggeris berjaya mendapat tempat ke-4 pada 22.06.2002 di SK St. Anne, Sarikei.

                Sekolah ini berjaya memenangi naib johan dalam pertandingan menyanyi lagu-lagu Mandarin kelolaan Persatuan Muzik Sarikei pada tahun 2002.

                3 orang murid sekolah ini, iaitu adik Chua Chin Shan, adik Tan Fo Ling dan adik Adeline Lau telah berjaya mewakili negeri Sarawak ke pertandingan komputer, peringkat kebangsaan yang dianjurkan oleh Syarikat Edutech Komputer Sdn. Bhd. di Mines Resort City di negeri Selangor pada 22.11.2002. Mereka berjaya memenangi hadiah cemerlang dalam pertandingan tersebut.

                Pusat Sumber Sekolah mengubah wajah dalam bentuk prasarana pada cuti akhir tahun 2002. Lantainya diturap dengan jubin. Bilik dipasang dengan 2 unit hawa pendingin. Rak perpustakaan diganti dengan kemudahan yang termoden. Sudut-sudut PAK ( pembelajaran akses kendiri ) dan sudut-sudut bacaan ditingkatkan. Hiasan dalaman diperbaharui untuk melahirkan suasana yang kondusif bagi pengajaran dan pembelajaran khususnya dan aktiviti membaca amnya.

                Kini, semua komputer di blok pentadbiran, iaitu komputer di bilik Guru Besar, Penolong Kanan, bilik Guru dan PSS dipasang dengan 'net-working'.

                Pada tahun 2003, bilangan kakitangan ikhtisas telah meningkat ke 35 orang, termasuk seorang Guru Bimbingan Sepenuh Masa (GBSM), iaitu Puan Angela Tan yang dilantik oleh Kementerian Pendidikan. Jawatan Penolong Kanan II (HEM) - DGA32 secara hakiki telah diisi oleh Puan Wong Kiung Ling yang berpindah dari SJK(C) Kai Chung, Meradong.





SENARAI NAMA GURU BESAR DAN TEMPOH PERKHIDMATAN

Bil.

Nama Guru Besar

Tempoh Perkhidmatan

1.

Encik Tiong Lok Ting

1926 - 1929

2.

Encik Hii Chung Ting

1930

3.

Encik Lee Siew Tieng

1931 - 1933

4.

Encik Boo Yew Wu

1936

5.

Encik Yeo Wei Rang

1937

6.

Encik Ting King Sing

1938 - 1942

7.

Encik Yeu King Sui

1946

8.

Encik Yeu King Min

1947

9.

Encik Ting King Sing

1948 - 1952

10.

Encik Tiong Chung Chin

1953

11.

Encik Yii Chu Leong (Memangku)

1953 - 1956

12.

Encik Tiong Chung Chin

1956

13.

Encik Wong Siew Tuang

1957 - 1979

14.

Encik Lau Kung Thai (Memangku)

1979 - 1980

15.

Encik Yii Ming Kai

1980 - 1996

16.

Puan Wong Mee Lang (Memangku)

1997

17.

  Encik Wong Hing

23.12.1997 -

 

Carta Organisasi 3K

Carta Organisasi SJK Kwang Chien

Enrolmen 1990-2003

Jadual Perancangan Aktiviti 2003 PSS

Lagu Sekolah

Peraturan Sekolah

Piagam Pelanggan

Pencapaian UPSR 1990-2002

Takwim Sekolah

Visi, misi, ,matlamat dan objektif sekolah

Sijil-sijil Yang Diperolehi

Gambar Foto 3K

Jawatankuasa Induk Pusat Sumber Sekolah

Jawatankuasa Kerja Pusat Sumber Sekolah

Lencana Sekolah

Gambar Pusat Sumber Sekolah

Perancangan Kokurikulum 2003

Jawatankuasa Ikhtisas dan Sokongan

Perancangan Kurikulum 2003

Pelan Sekolah

Back To Main